Apr 25, 2009

UMNO atau PAS ?

@ Penanti - Memilih antara UMNO dan PAS

Untuk melihat sebuah parti itu samada meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan atau tidak bukanlah suatu yang sangat sukar. Setiap parti politik mesti ada undang-undang tubuh atau perlembagaannya. Undang-undang tubuh atau perlembagaan partilah yang menentukan corak dan bentuk sesebuah parti itu. Setiap amalan, sikap, pendirian dan tindakan parti itu adalah merujuk kepada perlembagaannya. Jika perlembagaan perti itu berteraskan sekular, sudah tentu sikap dan pendirian juga amalannya juga mesti merujuk kepada pandangan dan sikap sekularisme.Sebuah parti yang sekular tidak boleh berpendirian dan bersikap menyalahi konsep sekular. Jika parti sekular berpendirian dan bersikap tidak sekular maka ia adalah menyalahi undang-undang tubuh atau perlembagaannya sendiri. Oleh demikian ia tidak dipanggil parti sekular lagi.Begitu juga parti yang undang-undang tubuh atau perlembagaannya berdasarkan Islam. Parti ini mesti bergerak, bersikap, berpendirian dan bertindak mengikut acuan Islam. Sekiranya dalam parti ini bergerak menyalahi Islam maka apa yang dia buat itu adalah tidak sah. Begitulah secara ringkas betapa perlembagaan parti itu mencorakkan rupa bentuk parti itu.
Foto 1 : Blogger alBanjari (raden banjar) di sebelah kiri, Pengerusi Jamai'y Islamiah sedang mempengerusikan Mesyuarat Jamaah di Ipoh ketika kemelut Krisis Perak.
Maka atas perkiraan inilah, maka saya kira Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz telah menyatakan pendirian beliau bahawa hanya PAS menjuarai perjuangan Islam di tanah air ini. Setakat ini tidak ada lagi parti yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, perlembagaannya benar-benar mengambil Islam sebagai dasar, hanya Parti Islam Se-Malaysia ( PAS ) sahaja. Mungkin ada parti-parti politik lain yang memasukkan perkataan Islam ke dalam perlembagaannya tetapi adakah Islam yang dimaksudkan itu sebagai dasar parti atau sekadar agama seperti agama-agama lain sahaja..?Sebagai perbandingan awal, lihat kepada Perlembagaan UMNO; " Fasal 3(3) asas dan tujuan penubuhan UMNO ialah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama."Apakah Islam yang dimaksudkan adalah keseluruhan Islam dalam konteks cara hidup ? Ini termasuklah cara berpolitik atau sekadar perkara-perkara rasmi sahaja yang hendak ditegak, dipertahan dan dikembangkan ? Benar, dalam konteks politik Malaysia, UMNO yang membentuk kerajaan memang meletakkan Islam dalam perlembagaannya, tetapi Islam sebagai agama itu adalah bersifat tiga serangkai bersama-sama bangsa dan negara.Agama merupakan satu daripada tiga perkara yang diperjuangkan. Apabila terdapat tiga perkara untuk diperjuangkan, mungkin di sana terdapat keutamaan-keutamaan yang perlu disegerakan dan keutamaan lain ditangguhkan dahulu. Dalam lain-lain hal mungkin keutamaan tidak diberikan kepada agama sahaja. Mungkin terdapat beberapa hal bangsa itu atau negara itu diutamakan dari perkara lain. Maka soal agama tidak semestinya menjadi keutamaan yang paling utama. Ada masanya agama perlu ditolak untuk mengutamakan keutamaan yang lain.Jika dilihat kepada khalayak, mereka2 yang yang mahu menyertai UMNO, antara syaratnya ialah patuh dan taat kepada Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan jika kita rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, peruntukan seperti perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas bercanggah dengan Islam.Perkara 4(1) Perlembagan Persekutuan berbunyi ; "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu "Berdasarkan kepada 2 (dua perkara) yang menjadi asas kepada penubuhan UMNO itu, jelas bagi kita bahawa agama yang diperuntukkan dalam perlembagaan UMNO itu ialah agama yang difahami sama seperti agama-agama yang lain, bukannya Islam yang bermaksud Ad-Deen atau sistem hidup atau cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.Mereka yang menjadi pendokong dan penyokong parti sekular seperti UMNO juga mengakui bahawa Al-Quran itu kitab mereka. Tetapi dalam masa yang sama mereka menjadikan perlembagaan negara sebagi rujukan tertinggi menggantikan autoriti Al-Quran sebagai rujukan tertinggi dalam pemerintahan serta pentadbiran negara atau rujukan kepada apa-apa keputusan politik yang mereka buat.Maka kekal lah Al-Quran itu hanya menjadi rujukan tertinggi dalam ibadah sahaja. Sepatutnya, sesebuah parti yang benar-benar menjadikan Islam sebagi imannya tidak boleh menjadikan dua perkara sebagai rujukan tertinggi dalam satu masa.Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, semua undang-undang yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan terbatal setakat mana ia bercanggah. Dalam peruntukan ini, mereka meletakkan perundangan negara sebagai rujukan serta perundangan tertinggi dan undang-undang lain ( termasuk syari'at Islam ) adalah terbatal sekiranya bercanggah dengannya.Ini bermaksud, sekiranya Al-Quran dan Al-Hadith bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka Perlembagaan Persekutuan yang akan dipakai dan secara automatiknya Al-Quran dan Al-Hadith tiada terpakai. Maknanya, undang-undang Persekutuan boleh membatalkan undang-undang Islam yang berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith. Perkara ini adalah amat serius di sisi 'aqidah bahkan boleh menjadi syirik kerana menolak sumber utama rujukan Islam.Jika penyokong dan pendokong UMNO mengatakan ianya adalah berdasarkan Islam, maka perkara tidak boleh berlaku. Sepatutnya kedaulatan Islam itulah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari Islam walaupun perlembagaan persekutuan dan undang-undang lain akan terbatal sekiranya bercanggah dengan Islam. Sebagai contoh, sekiranya Akta Keselamatan Dalam Negari ( ISA ) dan riba itu bercanggah dengan undang-undang serta kaedah Islam, ia tidak boleh diamalkan di negara ini sebab ia bercanggah dengan Islam. Berlainan dengan UMNO kerana mereka tetap mempertahankan perlembagaan negara di dalam undang-undang tubuhnya. Inilah yang didokong oleh UMNO.Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa sesebuah parti politik itu hendaklah dinilai bukan sekadar pada yang tersurat tetapi yang tersirat contohnya, Undang-undang tubuh atau perlembagaan parti walaupun tercatit tetapi kita hendaklah menilai bukan sahaja pada yang tersurat tetapi kita juga hendaklah menilai yang tersirat yang dapat kita capai dengan pemikiran kita. Bagi saya apa yang tersirat tidak boleh dijadikan hujah kerana ia tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah Ta'ala.
Sekiranya Parti Politik itu politiknya Islam sudah tentu parti tersebut akan mengisytiharkan dan menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah dasar dan teras perjuangan. Kita hanya menilai dengan perkara zahir. UMNO serta parti sekular yang lain (termasuk PKR) sebuah organisasi dan hatinya tertulis di dalam perlembagaan atau undang-undang tubuhnya. Di situlah dapat kita persoalkan apakah di dalam perlembagaan atau undang-undang tubuh UMNO serta parti-parti yang lain (termasuk PKR) tertulis dengan jelas perkataan Islam untuk ditegakkan secara kompreshensif ?Suasana di atas sudah pasti berbeza dengan PAS. PAS pada asasnya bukanlah sebuah organisasi politik. PAS adalah sebuah gerakan atau jama'ah yang memperjuangkan Islam untuk ditegak dan dilaksanakan. Untuk menegak dan melaksanakan Islam, PAS mesti mendapat kepercayaan mejoriti undi untuk mencapai matlamatnya.Oleh itu usaha-usaha perlu dilakukan. Untuk mencapai maksud itu, sudah pastilah PAS akan menyertai pilihanraya. Untuk menyertai pilihanraya, PAS mesti berdaftar dengan pendaftar pertubuhan sebagi parti politik. Jelas di sini bahawa status parti politik adalah wasilah kepada mencapai matlamat PAS. Maka usaha-usaha untuk mencapai matlamat ini juga mesti melalui kaedah yang dibenarkan oleh syarak. Juga ditegaskan sekali lagi, kepada mereka2 yang sering bertanya baik melalui email atau sms, saya menegaskan di sini bahawa Dasar PAS adalah Islam seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS. (alBanjary)
Posted by albanjari at 6:40 PM 0 comments Links to this post

No comments:

Post a Comment